Sabtu, 27 Oktober 2012

Saat Hati Bertamu Rindu

Bersendirian di kamar
bersama sepi menjerut rasa
album kenangan kucapai mesra
Ingatan mula mengimbau kenangan
saat aku dijemput Allah
menjadi tetamuNya tidak terduga
Aduhaiii...rindunya hatiku
pada kota Madinah dan Mekah

 Kupandang sayu kubah hijau
disinilah bersemadinya kekasih Allah
rindunya aku untuk di sini
mengucapkan Assalamualaika ya Rasulallah
Bersesak untuk ke raudhah
adalah pengalaman yang cukup indah
meski kepenatan mengasak dada
sujud di karpet hijau ternyata berbeza
Aku ingin semula di sini ya Allah
bagi membaiki amalan sebelumnya
aku berjanji ya ALlah
untuk sentiasa beribadat tanpa lelah



Demi terpandang kotak hitam ini
Jantungku seakan berhenti berdegup
Allah...
mengalir jua air mataku
demi kerinduan ini
berkeliling di sini 7 kali
seperti melelahkan
tapi sungguh aku rindui
Bismillahi Allah hu Akbar
walillah hil hamd
aku beristilam hajar aswad
setelah niat kulafaz
Istilamku penuh rindu
apalah dayaku
aku tak mampu mengucupmu
kucupanku hanyalah dari kejauhan
Aku tidak lagi memandang ke kanan ke kiri
Hatiku hanya satu yang mengisi
bahu kiri ku arah ke Kaabah
dan aku mula melangkah
bersama doa yang tak putus-putus
sambil air mata mengalir laju
Maha suci Engkau ya Allah
betapa sungguh aku rindu
aku mahu di sini lagi ya Allah
untuk menjadi tetamuMu
7 pusingan sekejap ku rasakan
rasa tak puas bermohon kepadaMu Tuhan

Usai tawaf di sini aku berhenti
Perlahan-lahan aku hampiri
aku ditolak ke tepi..ke kanan ke kiri
tapi aku mesti pergi
aku mesti hampiri
aku mesti dekat dengannya
aku sedang membawa doa
Allah hu Rabbi
begitu mudahnya hingga akhirnya aku berdiri
kerdil di hadapan multazam
tolakan mereka ternyata memudahkan
aku tidak berdaya melekapkan dadaku di sini
hanya mampu aku berdiri
memandang sepuas-puasnya sambil bermunajat
sampaikanlah semula aku ke sini ya Allah
aku belum puas
aku belum puas
aku belum puas



Di sini jua kenangan mengusik jiwa
berlari-lari anak antara Safa dan Marwah
bukit safa kudaki
kaabah kuhadap
tanganku lambai
bibirku lafaz
bismillah, Allah hu Akbar, Walillahilhamdu
kurindu tiang-tiang hijau
kurindu untuk berdoa sambil berjalan
kurindu saat terkenang bondanya Ismail
kurindu saat melepaskan lelah di salur zam-zam
kurindu saat air mata mengalir tanpa paksa
kurindu saat bertahalul
kurindu semuanya di sini
Aku rindu


Wahai Mekah al Mukarammah
Aku sedang dihimpit rindu
Sedang aku didakap nostalgia
datang puteriku manja
Kenapa wahai ibu bermuram durja
adik bawa khabar gembira
Kualihkan pandangan memandangnya
khabar apakah wahai adik nan manja
ibu lagi sibuk berbicara
dengan Allah yang ibu cinta
Adik bermimpi wahai ibu
Kita bersama ke Mekah al Mukarammah
Ibu kelihatan gembira
Membawa semua pakaian berserta
Bersama kita seorang gadis jelita
yang adik tak kenal siapa
kita berpakaian putih semata
tanpa sedikit pun noda
Kita melangkah bersama
Ibu membawa adik dan sigadis menaiki tangga
setiap tangga ada lubangnya
setiap tangga yang kita daki tembus pada tangga yang lain
hingga kita sampai ke satu lubang
tertulis di situ nama 'Ali _______
Allah...adik terlupa penuhnya
katanya sambil menggaru kepala
Dia lanjutkan cerita...
kita terus mendaki
di situ puncaknya terlalu tinggi
tangga itu tidak kedapatan di sini
semuanya indah
meski kita lelah
kita tetap mendaki
dan ibu tersenyum berseri

Aduhai adik
mimpi apakah gerangannya ini
adakah ibu akan mati
andai demikian redalah di hati
demi berjumpa Rabbul 'alamin

Allah hu Rabbi
panggillah aku semula menjadi tetamuMu
kerana aku benar-benar rindu
rindu ini sungguh menghimpit kalbu
andai tersurat untukku
mati saat menjadi tetamuMu
itulah yang aku mahu
itulah yang aku damba
Allah hu Rabbi
demikian aku rindu
Leraikanlah rindu ini.....



Tiada ulasan:

Catat Ulasan