Memaparkan catatan dengan label RINDU. Papar semua catatan
Memaparkan catatan dengan label RINDU. Papar semua catatan

Ahad, 5 Mei 2013

Kasih Yang Tiada Penghujungnya

Setiap kali tangan ayah diraup kemas...hatiku bergetar deras....
kukucup tangan ayah bersama linangan air mata...
kucium pipi ayah dengan kasih mesra
kupeluk ayah kemas seperti tak mahu dilepaskan sampai bila2.  Saat ayah kupeluk lama, hatiku berbisik...maafkan cek ayah, tak pernah mampu untuk menjadi anak yang baik untuk membawa ayah ke syurga Allah... Saat itu pasti mutiara jernih tiada tertahan jua.  Ayah yang seakan mengerti ratapan hati anak yang berdosa ini... menepuk2 belakangku mesra seolah-oleh berkata... " ayah maafkan semuanya... bertenanglah wahai anak!"

Terkenang pada zaman kemegahan...megah dengan kecantikan... tergoda dengan pujian...semua menjadikan aku karam dalam lautan perasaan. Betapa banyak saham yang aku kumpulkan untuk ayah yang tidak membawa ayah menjadi bahagia. Andai masa boleh aku undur,ayah... andai.. itu hanya andai, ayah.....

Teringat bagaimana selepas diijab kabulkan dan dalam perjalanan pulang ke rumah, ayah melepaskan beberapa das tembakan ke udara... seolah2 ayah mahu memberitahu aku...."hari ini ayah lepaskan ku miza... bebaskan ku miza untuk teruskan hidup bersama suami tercinta!"  Tamat sudah... bebanan yang ayah galas.

Kini ayah, suamiku... pilihan Allah untukku... menanggung segala tiap perbuatan tingkahku.  Saat ini ayah, aku sudah punya kesedaran tentang kasihannya suami menanggung bebanan dosa isteri dan anak2.. Maka aku berusaha semampu mungkin untuk menjadi isteri yang solehah.  Berusaha sedaya mungkin membentuk puteri menjadi anak yang berbahagia. Kalau dulu, kecantikan yang utama kini tidak lagi,ayah... biarlah aku dipandang kuno, tidak bergaya dengan pakaian longgarku asalkan tiada membawa bebanan pada suamiku.  Kalau dulu sayang untuk kutanggalkan hiasan wajahku hanya untuk membasahkan wajahku menghadap al Khaliq...hari ini tiada lagi aku bertangguh. 

Tiada lagi kasar pada bicaraku, tiada lagi dengusan memberontak dari nafasku, tiada lagi pandangan tajam menunjukkan marahku, tiada lagi helaan nafas panjang menyatakan lelahku...semua tiada lagi ayah... melainkan aku akur, akur dan akur.... Air mataku semakin kerap tertumpah ayah...tiada lagi seperti dulu yang ketika ditampar, aku masih tersenyum megah! Segala sudut di dalam rumah ini menjadi saksi... betapa murahnya harga air mataku kini.....

Segalanya bagi menebus silapku,ayah. Membiarkan ayah dalam lautan dosa kerana kejahilanku, kesombonganku, kebodohanku.... Dan kini ayah.... jika ada pahala dari setiap dakwah kecilku, jika ada pahala dari amalanku, jika ada pahala dari ketaatanku, jika ada pahala dari setiap tingkah baikku...maka aku hadiahkan pahalanya untuk ayah teristimewa...juga pada mak yang melahirkan.... 
Semoga Allah itu terus kasih akan ayah... dan menjanjikan syurga buat ayah....


Buat suami tercinta...pandanglah aku selagi ada...jangan dikesal andai masa memisahkan kita.  Hidup matiku untuk Allah justeru perluku pada reda. Aku hanyalah hamba kerdil yang tak pernah terlepas dari berbuat dosa...tapi aku berusaha semampuku untuk menjadi isteri solehah meski aku kurang segala. Aku berusaha untuk menjadi baik meski matamu memandang tiada. Kubesarkan puteri kita dengan iman agar puteri kita tidak mengulangi dosaku kepada Allah yang menyebabkan kau menanggung segala. Aku kini telah berserah... aku tak minta duit berjuta, aku tak tagih untuk didoa...tapi cukuplah akan aku ini kau reda! Terbanglah ke mana mahumu, hinggaplah dimana rasa enakmu kerana aku masih akan tetap setia disini....terus menunggumu.


Salam kasih wahai ayahku.....
Salam jua buatmu suamiku
Sebelum mata terpejam rapat
Sebelum terbujurnya 1 jasad
Sebelum pada setiap sendi terikat
Sebelum saat aku diangkat
Sebelum tiba aku dihantar
ke satu alam yang hebat

Pandanglah aku 
dengan redup matamu
Kasihkanlah aku
Rinduilah aku
seikhlasmu
Sapalah aku
dengan kemesraanmu

Janganlah aku dibentak
hanya kerana jahilku
Janganlah aku dimarah
hanya kerana manjaku
Janganlah hendaknya kita terpisah
bukan hanya jasad
tetapi jua rasa
Hanya kerana dunia yag sementara.

Marilah
bimbinglah tanganku ini
yang semakin tiada berdaya
Ayuhlah
pimpinlah langkahku ini
yang semakin terasa lemahnya
Pangkulah aku dengan agama
agar tiada aku rebah
bersama dosa.....


Sungguh masa yang tersisa ini... mahu aku penuhi bersungguh-sungguh... tidak lagi mahu aku menoleh pada sebuah duka  yang kerananya menjadikan aku lemah....


Inilah masanya....untuk aku tingkatkan ibadahku...kerana Allah... selamat tinggal semua duka!!!



Sabtu, 19 Januari 2013

Rindu.....

Rindu bertandang utk menarikn jemari laju...keinginn membuak2 tp syg dhambat masa mnjdkn impian tiada kesampaian.  Bukanlah masa yang bersalah tapi aku yang terleka....
Sungguh.. 2013 benar2 mnjadikan aku seorg yg sungguh sibuk dgn urusan duniawi. Dgn masa mengajar 26 waktu, kesibukan mngurus disiplin anak2 menjadikn masaku dpt tiada bersisa untuk bersantai lega!!! Menguruskan 4 kelas BM ternyata melelahkn tp demi sesungguhnya...aku reda. Aku harung, aku rempuh, aku tempuh. Aku tak boleh bersungut kerana aku teringat janji Allah
"Tidak ada balasan untuk kebaikan selain kebaikan pula - 55:60.

Saat tubuh kulempar ke tilam yg tiadalh empuk.. kuhntr doa kpd Dia yg mengurusknku agar mnjdkn lenaku tiada terganggu agar aku dpt berpagi2 dgn segar... kubisikkn agar berikn aku kekuatan menguruskan hariku keesokannya. Ternyata, Allah itu maha penyayang, kulewati hariku yg sibuk dgn jayanya tanpa keluh kesah, tanpa masalah...ALhamdulillah.

Aku disibukkn dgn urusan dunia yg mnjadi amanah untukku... aku seakan tidak terkejar menawan timbunan buku2 muridku tp ternyata... Allah berikan ubat yg mujarab pd kesakitanku.... dlm kesibukan jadual yg penuh hingga jam 3.20 petang ada tikanya, Allah dgn rahmatNya buka ruang utk aku luahkn cinta..tanpa gagal setiap pagi.  Juga aku kini mampu tersenyum girang krn dpt hadir ke pengajian bersama madu  terhidang, tiada lg cuka meneman. Nikmat ya Rabb...nikmat... (Awak, ternyata buah sabar itu sangat sangat manis untuk saya nikmati sebelum saya pergi mengadap Ilahi)
Sesungguhnya bersama kesulitan ada kemudahan - 94:6

Sabtu, 27 Oktober 2012

Saat Hati Bertamu Rindu

Bersendirian di kamar
bersama sepi menjerut rasa
album kenangan kucapai mesra
Ingatan mula mengimbau kenangan
saat aku dijemput Allah
menjadi tetamuNya tidak terduga
Aduhaiii...rindunya hatiku
pada kota Madinah dan Mekah

 Kupandang sayu kubah hijau
disinilah bersemadinya kekasih Allah
rindunya aku untuk di sini
mengucapkan Assalamualaika ya Rasulallah
Bersesak untuk ke raudhah
adalah pengalaman yang cukup indah
meski kepenatan mengasak dada
sujud di karpet hijau ternyata berbeza
Aku ingin semula di sini ya Allah
bagi membaiki amalan sebelumnya
aku berjanji ya ALlah
untuk sentiasa beribadat tanpa lelah



Demi terpandang kotak hitam ini
Jantungku seakan berhenti berdegup
Allah...
mengalir jua air mataku
demi kerinduan ini
berkeliling di sini 7 kali
seperti melelahkan
tapi sungguh aku rindui
Bismillahi Allah hu Akbar
walillah hil hamd
aku beristilam hajar aswad
setelah niat kulafaz
Istilamku penuh rindu
apalah dayaku
aku tak mampu mengucupmu
kucupanku hanyalah dari kejauhan
Aku tidak lagi memandang ke kanan ke kiri
Hatiku hanya satu yang mengisi
bahu kiri ku arah ke Kaabah
dan aku mula melangkah
bersama doa yang tak putus-putus
sambil air mata mengalir laju
Maha suci Engkau ya Allah
betapa sungguh aku rindu
aku mahu di sini lagi ya Allah
untuk menjadi tetamuMu
7 pusingan sekejap ku rasakan
rasa tak puas bermohon kepadaMu Tuhan

Usai tawaf di sini aku berhenti
Perlahan-lahan aku hampiri
aku ditolak ke tepi..ke kanan ke kiri
tapi aku mesti pergi
aku mesti hampiri
aku mesti dekat dengannya
aku sedang membawa doa
Allah hu Rabbi
begitu mudahnya hingga akhirnya aku berdiri
kerdil di hadapan multazam
tolakan mereka ternyata memudahkan
aku tidak berdaya melekapkan dadaku di sini
hanya mampu aku berdiri
memandang sepuas-puasnya sambil bermunajat
sampaikanlah semula aku ke sini ya Allah
aku belum puas
aku belum puas
aku belum puas



Di sini jua kenangan mengusik jiwa
berlari-lari anak antara Safa dan Marwah
bukit safa kudaki
kaabah kuhadap
tanganku lambai
bibirku lafaz
bismillah, Allah hu Akbar, Walillahilhamdu
kurindu tiang-tiang hijau
kurindu untuk berdoa sambil berjalan
kurindu saat terkenang bondanya Ismail
kurindu saat melepaskan lelah di salur zam-zam
kurindu saat air mata mengalir tanpa paksa
kurindu saat bertahalul
kurindu semuanya di sini
Aku rindu


Wahai Mekah al Mukarammah
Aku sedang dihimpit rindu
Sedang aku didakap nostalgia
datang puteriku manja
Kenapa wahai ibu bermuram durja
adik bawa khabar gembira
Kualihkan pandangan memandangnya
khabar apakah wahai adik nan manja
ibu lagi sibuk berbicara
dengan Allah yang ibu cinta
Adik bermimpi wahai ibu
Kita bersama ke Mekah al Mukarammah
Ibu kelihatan gembira
Membawa semua pakaian berserta
Bersama kita seorang gadis jelita
yang adik tak kenal siapa
kita berpakaian putih semata
tanpa sedikit pun noda
Kita melangkah bersama
Ibu membawa adik dan sigadis menaiki tangga
setiap tangga ada lubangnya
setiap tangga yang kita daki tembus pada tangga yang lain
hingga kita sampai ke satu lubang
tertulis di situ nama 'Ali _______
Allah...adik terlupa penuhnya
katanya sambil menggaru kepala
Dia lanjutkan cerita...
kita terus mendaki
di situ puncaknya terlalu tinggi
tangga itu tidak kedapatan di sini
semuanya indah
meski kita lelah
kita tetap mendaki
dan ibu tersenyum berseri

Aduhai adik
mimpi apakah gerangannya ini
adakah ibu akan mati
andai demikian redalah di hati
demi berjumpa Rabbul 'alamin

Allah hu Rabbi
panggillah aku semula menjadi tetamuMu
kerana aku benar-benar rindu
rindu ini sungguh menghimpit kalbu
andai tersurat untukku
mati saat menjadi tetamuMu
itulah yang aku mahu
itulah yang aku damba
Allah hu Rabbi
demikian aku rindu
Leraikanlah rindu ini.....



Khamis, 18 Oktober 2012

Beginikah RIndu....

cincin_jari_manis (1)Tatkala cincin tersarung ke jari
Ramai yang gembira di hati
AKu jua apatah lagi
Rasa seperti mahu menari-nari
Demikian mengharapkan sebuah hubungan
langsung ke syurgawi
tapi itulah perancangan makhluk
Yang tak pernah dapat mengatasi takdir Ilahi


Saat cincin terlucut dari jari....
banyak mata yang basah
sedang aku mengira aku benar...
Dia hanya tersandar lesu... pasrah menerima takdir..
Kelihatan air jernih di sudut matanya.. lalu disekanya perlahan...
Lembut dia berkata... "Sudah habis fikir?"
Aku sekadar mengangguk tanpa suara..
tanda nada...

Berpalinglah aku dari rindu
Berlarilah aku dari cinta
Kasih bersulam lama terlerai begitu saja
Hanya kerana kata dusta
Yang aku percaya

Kebahagiaan mengengsot pergi
Duka lara cuma yang bertandang
Meski seulas bibir ini sentiasa bersulam senyum
Hakikatnya dalam hati membara rindu
Tapi egoku mencantas  semuanya
Aku mencari cinta
Memburu kasih nan baru
Yang kononnya boleh menghambat rindu
Allah hu Rabbi
Yang aku jumpa hanya sepi
Yang aku temu hanya lara bertamu

Dia tak lagi aku temui
Hilang tanpa khabar
Malah aku sendiri tidak mencari
Kerana hati cuba membenci
Aku terus memburu waktu di lautan ilmu
Demi segulung ijazah
Demi ayah bonda tercinta
Kujumpa kawan mesra
Tapi tiada langsung rasa cinta
Hanya sekadar ketawa bergema
Kemudian pulang tanpa rasa

Demikian aku dikatakan bercinta
Tapi dia hanyalah kawan mesra
Laut Cina Selatan menjadi pemisah
Antara kami tak siapa pun sanggup
Meninggalkan keluarga,sanak saudara tetangga
Lalu berikrarlah kami
"Kita hanya kawan mesra
Tiada perlu ucapkan cinta
Kerana kita tak mungkin bersama
Lantaran kita berbeza rasa"

Ke mana jua kami gagal untuk tidak bersama
Di mana ada dia
Di situ aku beserta
Lalu jadilah kami pasangan mesra
Tanpa cinta
Tanpa rasa

Berlari dalam arus masa
Bersama rakan tertawa gembira
Dalam hati tetap lara
Meskipun aku punya teman mesra
Dengan sedaya upaya
Aku cuba padamkan semua kenangan
Aku nekad larikan pandangan
Aku tak mahu lagi terkenang-kenang
AKu tak mahu semuanya berulang
Tapi aku hanyalah hamba
Yang tak punya sikit kekuatan pun
Demi TUhan
Bayangan dia sering bertandang
Dosa apakah aku pada dia, Tuhan
Aku tak pernah mendapat jawapan

Melalui kehidupan tanpa teman
Saat usia menginsut perlahan-lahan
Membuatkan si ayah tidak tertahan
'Sampai bila anakku akan demikian'
Lalu jodohku dicarikan
Bermulalah episod baru dalam kehidupan
Aku menjadi isteri orang
Aku belajar membina kebahagiaan
Sungguh tidak mudah sebagaimana dikatakan
Berjuang dan terus berjuang
Demi membina sebuah perhubungan
Amat janggal rasanya
Tapi tetap aku lewati jua
Tanpa seorang pun tahu gejolak rasa
Yang nyata..
Aku kelihatan gembira
Aku tampak bahagia
Benarkah?
Demi Tuhan
Hanya Dia yang aku punya
DIa yang memiliki setiap apa yang kurasa

Allah hu Allah
Kenangan itu kembali
Tanda dia abadi
AKu semakin tidak mengerti
APakah ujiannya ini
Lahawlawala quwatailla billah hil'ali yil azeem
Ini saja mampu aku lafazka ya rabb
Berilah aku pertolongan
Hulurkanlah aku bantuan
Aku dalam kepayahan
Aku dalam ketenatan
Bawalah aku pergi ya Rabb
Ke dalam dakapanmu...
Saat ini aku sangat perlu
Sangat mendambakan-Mu






Rabu, 30 November 2011

Alahaiii... Rindu Yang Tak Tertahan.....


Rindu pulak rasanya akan kg halaman yang nun jauh di utara.  Paling aku rindu situasi pada waktu pagi saat orang lain masih diulit mimpi.  Aku sentiasa akan pastikan aku tidak melepaskan peluang untuk menikmati wajah lelaki yang turun menuju ke bilik air dan beberapa minit kemudian, diikuti oleh seorang wanita.  Aku amati wajah mereka dalam suram cahaya..Kelihatan aku khusyuk dengan urusanku tanpa mereka sedar....mereka sedang aku perhatikan....

Aku rindu pada deru air dalam bilik mandi, aku rindu untuk menatap wajah2 yang basah dengan wuduk.  Si lelaki naik semula ke atas sebaik saja berwuduk bagi memulakan paginya dengan al Khaliq.  Menyusul si wanita tadi... menuju ke kananku dan membentangkan sejadah lalu mula bermunajat.  Belum puas aku menikmat wajah itu beribadah, azan subuh sayup2 bergema... Bergegas si lelaki tadi turun dan wanita tadi mengekori taat.  Bunyi motor kedengaran memecah hening pagi... berangkatlah mereka bagi mengimarahkan rumah Allah....

Usai solat subuh dan ta'alim, mereka bergegas pulang.  Masing2 sibuk dengan urusan masing2.  Yang lelakinya mencapai doa Tok Kenali dan dibacanya...usai sahaja berdoa, dia mencapai yaasin dan mengalun lembut... aduhai... lunaknya telingaku berpagi2 dengan suaranya...
wanitanya pula, bergegas mencapai al Quran dan mula mengalunkan suara perlahan.  Indah lagi damai pagiku.  Rindu sungguh aku pada keadaan ini yang tidak aku nikmati berbulan2 lamanya.  Bila agaknya aku akan menikmati suasana ini lagi...

Itulah lelaki yang telah menjasadkan aku dan wanita yang telah melahirkan aku.... itulah mereka yang aku pasti kasihi sepanjang hayatku dunia dan akhirat...



 Wajah ini sangat aku rindukan...mendidikku dengan keras sekali tetapi aku tahu dia mahu memanusiakan aku...dan hari ni ayah... inilah aku.... sepertimana mahumu, Alhamdulillah.




Inilah wajah yang aku kasihi yang sering menitiskan air mata saat aku diuji dahulu.  Berkat doa merekalah aku akhirnya melepasi  waktu ujianku dengan jayanya, ALhamdulillah

Aku tak pernah berjanji dengan ayah...dengan mak..tapi aku berjanji dengan Allah bahawa aku akan membahagiakan kalian, berbuat apa saja untuk kalian.

Dengarkanlah mak,ayah...betapa aku sangat rindu......
Aku sungguh rindu berpagi2 dengan kalian....